Wednesday, 19 February 2014

ULAT BELUNCAS TERBESAR DI DUNIA DIJUMPAI DI LENGGONG PERAK




      Ulat beluncas ini mula-mula saya jumpai hinggap pada pokok limau nipis dan banyak. Masa itu saya kagum dengan bentuknya yang unik.Rasa takut dan ngeri pun ada. Pada masa itu besarnya sepanjang 2-3 inci. Tetapi saya cuma kutip dan campakkan ke tanah bawah. Pada esok hari bila saya pergi tengok kembali saya dapati pokok jambu berdekatan pokok limau tersebut hampir semua daun-daunnya seperti dimakan sesuatu. Bila saya perhatikan Masya Allah! rupa-rupanya ulat-ulat beluncas semalam tersebut yang makan daun-daun jambu dan kali ini ianya mengejutkan saya sebab panjang ulat-ulat tersebut membesar hampir sepanjang 6 INCI!! Saya mengutip ulat-ulat tersebut dan saya letakkan ulat-ulat tersebut di dalam hutan tidak jauh dari situ.

    ALHAMDULILLAH Saya sangat bertuah dan kagum berjumpa ulat-ulat tersebut. Pada keesokannya ulat-ulat tersebut hilang entah ke mana. Terfikir juga saya andai saya membelanya saya akan dapat saksikan ianya menjadi dewasa sebagai Rama-Rama. PASTI BESAR! PASTI CANTIK!

    Moga diketemukan lagi.

Saturday, 15 February 2014

TEKNOLOGI KEBUGARAN

TEKNOLOGI KEBUGARAN

PENGENALAN

Allah menjadikan makhlukNya berpasang-pasang; lelaki-perempuan, jantan-betina, positif-negatif dan sebagainya. Demikianlah Allah Yang Maha Halus dalam penciptaanNya menjadikan mikroorganisma yang biasanya disebut sebagai bakteria terbahagi kepada dua kumpulan terbesar iaitu mikroorganisma perosak dan mikroorganisma bermanfaat.


Prof. Dr. Teruo Higa dari Okinawa, Jepun dalam kajiannya telah secara tak dirancang menemui kewujudan sekumpulan bakteria yang beliau namakan sebagai Effective Microorganisms atau ringkasnya EM. Penemuan ini bakal mengubah landskap pertanian, pemeliharaan alam sekitar, penjagaan kesihatan, pengurusan sisa buangan dapur, pembersihan sungai /kolam air yang tercemar dan sebagainya. 



 




PERKEMBANGANNYA



Teknologi ini telah digunapakai di seluruh dunia,tetapi penerimaannya di negara Malaysia ini masih belum meluas. Hal ini tidaklah menghairankan, malah di Jepun sendiri beberapa tahun peringkat awal diperkenalkan menerima sambutan yang dingin di kalangan pembuat keputusan di bidang pertanian dan pentadbiran alam sekitar. Hingga ke hari ini nampaknya pihak pentadbir dan kumpulan penyelidikan di Malaysia masih belum bersedia atau terlalu berhati-hati untuk menerimanya.




KEISTIMEWAAN EM

Teknologi pertanian yang meluas digunapakai sehingga kini masih bergantung sebahagian besarnya kepada
penggunaan baja kimia, racun serangga dan racun rumput. Akhir-akhir ini kita terlalu teruja dengan perkembangan bioteknologi. Pakar-pakar berkaitan, antara lain, memberi tumpuan penyelidikan mereka di bidang genetic engineering dan mechanised farming.




Malangnya pengusaha-pengusaha pertanian masih menghadapi masalah kos pengeluaran yang terlalu tinggi untuk menggunapakai teknologi mutakhir yang diperakukan tanpa bantuan kerajaan. Contohnya untuk membangunkan sistem pertanian hidroponik atau fertigasi bersaiz sederhana memerlukan penyediaan infrastruktur yang melibatkan keperluan modal tidak kurang daripada RM300 ribu. Itu belum masuk perbelanjaan membeli benih, baja, racun serangga, bekalan elektrik    dan air.

Teknologi EM boleh menjimatkan kos dan meningkatkan produktiviti berlipat ganda. Kebanyakan
tanah pertanian yang telah diteroka mengalami pencemaran melalui penggunaan baja kimia, racun
serangga dan racun rumput secara berterusan. Bahkan ia dengan tidak sengaja telah mengundang kemerebakan musuh pertanian yang sangat sukar dikawal seperti siput gondang dan kutu beruang di jelapang padi, dan peningkatan kekebalan serangga musuh yang lain.

PELBAGAI KEGUNAAN

Teknologi EM mampu mengatasi pelbagai masalah pencemaran tanah pertanian dan air, pengawalan serangga dan rumput rumpai serta masalah pencemaran sungai dan alam sekitar pada keseluruhannya. Peladang peladang di Thailand telah lama berjaya mengawal pembiakan siput gondang dan kutu beruang, manakala peladang di Malaysia masih lagi menggunakan pendekatan cara lama iaitu dengan cara membakar jerami dan sekam padi.

Penggunaan teknologi EM memudahkan kerja penggemboran tanah, kawalan rumpai dan penggunaan semula sisa-sisa buangan dapur dan pertanian. Contohnya untuk menyediakan baja kompos secara konvensional petani petani bergelumang dengan bau busuk dan tempoh pemprosesan yang agak lama (3 hingga 5 bulan). Dengan menggunakan suntikan EM proses berkenaan dapat dipendekkan kepada 10 hingga 15 hari sahaja. Dan yang lebih menyeronokkan ialah bau baja yang dihasilkan adalah sangat menyenangkan.




Masalah pembiakan lalat di ladang ternakan dapat diatasi melalui campuran /suntikan EM dalam makanan/minuman haiwan ternakan dan penyemburan cairan EM ke atas tinja dan sekitar reban/kandang ternakan. Ternakan ikan dan udang juga mampu dipertingkatkan dari segi kualiti air kolam berkenaan. Langkah.Kerajaan Negeri Melaka mewajibkan semua penternak menggunakan EM untuk megawal pembiakan lalat adalah amat dialukan dan sepatutnya dikuatkuasakan di negeri-negeri lain.


MAGNETIC WAVE RESONANCE

Dr Teruo Higa telah mengemukakan satu hipothesis tentang kewujudan gema seni yang beliau gelar sebagai "magnetic wave resonance" di kawasan tanah yang mendapat suntikan EM secara merata. Gema tersebut tidak disukai oleh serangga perosak tanaman,tetapi sebaliknya menggalakkan pembiakan serangga baik dan cacing tanah.

Pengalaman kami telah menunjukkan kebenaran dakwaan tersebut. Di sana sini dalam kebun yang kami usahakan telah mula kelihatan anak cengkadak(mentadak) yang suka makan belalang; taptibau(pepatung) yang suka memakan ulat dan kumbang ladybug yang turut membantu mengawal dan memusnahkan serangga musuh. Sebelum ini kami pernah berjaya menghalau semut gatal dan anai-anai dari pangkal pokok dengan menggunakan EM nyah serangga yang kami buat sendiri. Kelulut pun nampak telah mula melawat pokok-pokok tanaman yang baru ditanam.



TEKNOLOGI KEBUGARAN YANG UNIK

EM adalah anugerah Allah sebagai teknologi kebugaran yang amat unik. Sekali imbas ia nampaknya tidak lebih daripada bancuhan-bancuhan ala kampung. Apa tidaknya cara membuatnya jauh lebih mudah daripada membuat ais ABC di gerai-gerai tepi jalan. Contohnya untuk membuat bokashi kami hanya bertindak menggaul bahan-bahan seperti tahi kambing, dedak, sekam padi, EM yang telah diaktifkan, molasses dan air dengan menggunakan pongkis. Bila kuantitinya banyak kami gunakan mesin pembancuh simen.

Tetapi perhatikan keistimewaan kegunaannya. Dalam sebulan dua ini Kumpulan Bokashi Manchester akan melancarkan projek membersihkan Sungai Manchester menggunakan bokashi. Bayangkan bahawa projek istimewa yang bakal dilaksanakan ini sebenarnya berpandukan kejayaan pilot projek yang pernah dilakukan oleh sebuah sekolah kebangsaan di Malaysia iaitu Sekolah Aminuddin Baki di Pulau Pinang!

Di Denmark satu ketika dulu ada sebuah tasik yang amat kotor/tercemar(Tasik Tivoli). Dengan suntikan EM tasik tersebut menjadi destinasi pelancongan yang terkenal.

PANDUAN MEMBUAT

Panduan membuat bahan bahan berkenaan boleh kita kongsikan melalui pelbagai cara - internet, pertemuan, latihan dan sebagainya.Ilmu ini juga kami akan kongsikan dengan sedaya upaya kami dari semasa ke semasa, di ruangan KEBUGARAN ini, in sha ALLAH. Saya telah mendapat pendedahan drpd kursus pendek yang dianjurkan di UTM KL. Saya telah melakukan pelbagai percubaan untuk meyakinkan kami tentang keistimewaan teknologi ini. Ternyata kami menemui pelbagai kejutan yang meningkatkan kesyukuran kepada Allah yang mencipta pelbagai keistimewaan.







SYED ALWI
Kuala Jepai,
Lenggong
12 Februari 2014